Guru yang HEBAT adalah guru yang mampu menjadi INSPIRASI pelajar...Berusaha mendidik hati untuk mendidik pelajar dari HATI yang TULUS...Bukan sekadar mengharap pelajar menjadi pandai semata-mata tetapi mampu memancarkan ilmu untuk KEMENJADIAN pelajar...Maka diri ini bukan sekadar CIKGU tetapi berusaha melunaskan amanah sebagai KHALIFAH sementara masih bernyawa di bumi ALLAH ini...

Pages

Monday, 16 September 2013

Berbulatan gembira...=)


16 September 2013

Alhamdulillah. Hari ini sempat turun ke surau untuk solat maghrib dan isyak berjemaah dengan pelajar-pelajar. Walaupun hujan, saya gagahkan diri untuk turun. Petang tadi baru sahaja tamat berkursus guru baru. Mash terngiang-ngiang pesanan pegawai dari SBP Cik Hajah Zakiah memberi harapan supaya guru-guru perlu rajin turun ke surau terutama guru baharu yang masih kurang komitmen. Di sekolah, pelajar hanya bergantung kepada guru. Ibubapa mereka jauh. Ketika di suraulah kita dapat menjalinkan hubungan mesra dengan mereka.
Benar, mereka sangat menghargai guru yang turun ke surau. Setiap kali saya turun ke surau ramai yang datang berebut-rebut datang bersalaman dan bertanya khabar walaupun setiap hari berjumpa mereka.  Tiga hari saya tidak turun surau kerana berkursus, ketika turun solat maghrib masing-masing teruja seolah-olah lama tidak bertemu.
 “Cikgu datang surau la…” “Wah, cikgu ada la…”
Selepas solat maghrib.
“Syafiq Wong, bagi tazkirah maghrib.” Saya mengarahkan.
Syafiq Wong adalah salah seorang pengawas sekolah juga AJK kerohanian. Tajuk yang dipilih berkisar tentang pengorbanan Siti Hajar demi melaksanakan perintah Allah. Kuliah berjalan dalam keadaan riang ria. Mungkin kebanyakan mereka sudah seperti adik-beradik.
Selepas kuliah saya terpaksa ‘take over’ bagi memastikan masa mereka terisi sebelum azan Isyak. Saya merumuskan apa yang diceritakan Syafiq tetapi dikaitkan dengan konteks mereka sebagai pelajar. Saya juga berkongsi tentang hadis pertama iaitu niat. Saya mengaitkan tajuk niat dalam konteks mereka sebagai seorang pelajar.

“Ustazah…eh…eh…silap…Cikgu…”
Seringkali mereka tersasul memanggil saya ustazah. Saya hanya tersenyum  Segan juga bila ada yang memanggil ustazah. Ilmu masih banyak belum diterokai.
“Cikgu sekolah agama ya dulu?”, beberapa pelajar sebelum ini turut bertanya soalan yang sama.
“Ya, saya sekolah di Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu.” Saya melontarkan dengan bangga. Inilah sekolah yang banyak membentuk saya pada hari ini.
“Ya, saya tahu sekolah tu.” Jabbar teruja sambil mengangkat tangan.
“Kamu pernah dengar tentang pelajar yang dapat 20 A?” Saya cuba memancing minat mereka mendengar kuliah saya.
“Saya tahu, Nik Nur Madihah.” Syafiq Wong menjawab dengan senyuman yang sangat manis. Sememangnya budak ini suka tersenyum walaupun sambil tidur dalam kelas!
“Itulah junior saya.” Saya seringkali ‘menjual’ nama Madihah. Untuk membuktikan pelajar sekolah agama juga mampu menjadi pelajar hebat. Dan yang paling penting saya akan ‘menjual’ akhlak Madihah untuk diteladani pelajar-pelajar. Pakej lengkap sebagai pelajar Muslim.
“Cikgu kenal dia?”
“Cikgu pula dapat berapa SPM?”
“Cikgu ada nombor telefon dia?”
“Cikgu kawan baik dengan dia?”
“Cikgu suruhlah dia bagi motivasi pada kami.”
“Cikgu telefonlah dia sekarang minta dia doakan untuk kami.”
Pelajar-pelajar mula ‘excited’ untuk tahu. Halaqah yang tadinya dalam bulatan, kini tidak lagi. Pelajar-pelajar semakin menganjak ke depan dan menggerumini saya terutama pelajar lelaki. Rasa macam nenek yang dikerumi cucu-cucu sambil bercerita rakyat sudah!
“Jauh-jauh la sikit.” Saya terpaksa naikkan suara. Batas tetap batas sebagai. Mereka tetap buka muhrim saya…
“Semua senyap. Nak dengar tak tips Madihah?”
“Nak…” Jawab mereka serentak.
Saya berkongsi tips dengan mereka juga kisah kehidupan hidup Madihah. Semua teruja.
“Cikgu, doakan kami ye.”
“Apa gunanya kamu dapat ‘straight’ A tapi tiada akhlak dan agama. Jadilah pelajar yang bukan sahaja ‘straight’ A tetapi juga jaga akhlak dan agama. Seperti Madihah.” Saya mengakhiri kata.
“Amin.” Serentak mereka mengaminkan.

Arif yang dari tadi tergolek sana sini dalam surau mengambil tugas muazzin. Arif. Budaknya sangat poyo. Ketika kuliah tadi macam-macam gayanya. Tidak boleh duduk diam. Hidungnya tertampal plaster. Terkena raket badminton katanya. Namun, azannya boleh diberi pujian.

Solat isyak diimamkan Faiq.
Selepas solat. Mereka bersalam. Pelik. Sepatutnya baca Al-Mulk dulu.
“Al-Mulk…Al-Mulk…”saya mengingatkan mereka.
“Dalam dorm la cikgu.”
“No, ambil quran dan baca sekarang.” Saya bertegas. Kebarangkalian untuk tidak baca Al-Mulk dalam dorm sangat besar. Kami membacanya secara berjemaah.
Selepas membaca Al-Mulk. Pelajar-pelajar mengajak saya bermain badminton. Namun hujan semakin lebat yang membataskan kami ke dewan.
“Oklah, jumpa Subuh esok.”


Syafiq Wong menyampaikan kuliah Maghrib yang bertajuk “Siti Hajar.” Zulfikar, Jabbar dan Arif, antara pelajar-pelajar yang agak ‘poyo’ kononnya menjadi wartawan…


Antara pelajar-pelajar yang tidak pulang kampong walaupun sekolah bercuti 3 hari sempena Hari Malaysia. Kebanyakan yang tidak pulang ke kampung kerana kampong mereka agak jauh seperti Mukah, Samarahan dan Miri.

No comments:

Post a Comment