Sebelum
ini rakan-rakan banyak bercerita tentang kekreatifan pelajar-pelajar SAKURA.
Sehinggakan pada sambutan hari guru yang lepas mereka diperuntukkan sejumlah
wang (ribuan RM) untuk merancang dan melaksanakan hampir 98% sambutan hari
guru. Guru sekadar pemantau bukan pengacau. Guru menyediakan ‘guide line’ kasar
yang perlu pelajar ikut agar sambutan hari guru bukan sambutan hari huru hara.
Pernah berlaku hari guru jadi hari huru hara (Bukan sekolah inilah. Sekolah ini
baru pertama kali menyambut hari guru kot!). Kadang-kadang bukan salah pelajar
tetapi kadang-kadang disebabkan sebahagian guru yang terlebih ‘enjoy’ sehingga
lupa sekejap mereka masih guru yang diperhatikan setiap tingkah laku oleh
pelajar-pelajarnya.
Berkenaan
cerita kawan-kawan, pelajar telah diberi kebebasan untuk mengadakan sambutan
hari guru selagi mana mencukupi dengan bajet yang diberi. Hasilnya?! Terserlah
kekreatifam mereka! Bermula dari pagi hingga tamat waktu persekolahan yang
diteruskan pula dengan agenda makan malam. Walau sekadar dibuat di dewan
sekolah, sambutannya cukup hebat. Dengan limpahan lampu neon berwarna kuning,
hijau dan merah yang memang tersedia di pentas utama dewan pasti menambahkan
lagi aura kemeriahan pada malam tersebut.
Audien
tidak tertumpu pada pentas utama tetapi tertumpu di tengah-tengah dewan.
Bahagian tengah dikosongkan dengan meja makan disusun membulat. Persembahan
tertumpu di tengah dewan. Tambahan pula bilangan guru hanya mencapai 40 orang
sedikit membantu penyusunan sedemikian dengan ruang dewan yang cukup besar.
Majlis makan malam menjadi cukup santai. Lagu-lagu untuk guru disampaikan
istimewa oleh pelajar dengan persembahan yang cukup kreatif. Keseluruhan
dinding dewan dipenuhi bermacam-macam kad dari pelajar. Mungkin setiap orang
membuat satu kad! Penuh dewan kot!
Seperkara
lagi pelajar tidak mendedahkan sepenuhnya acara yang bakal berlangsung. Guru
memang di‘surprise’kan oleh pelajar. Bantuan ibubapa pelajar juga cukup
memberangsangkan. Ada yang sanggup datang ke sekolah semata-mata menghantar
pasu bunga untuk menyokong program yang diatur oleh anak mereka. Ada juga yang
sanggup datang semata-mata menghantar langsir dan alas meja. Wow! Saya teruja
mendengar cerita rakan-rakan. Teringat saya kepada buku The Leader In Me
(berpandukan buku best seller Seven Habits karya R.Covey). Dalam buku ini
menceritakan penglibatan ibubapa dengan program sekolah mampu memberi kesan
positif dan inspirasi kepada pelajar.
Tadi
saya melihat sendiri secebis kekreatifan pelajar SAKURA menyambut kepulangan bonda
pengetua dari umrah. Program yang berprotokal tetapi ‘happening’. Majlis
bermula dengan perarakan masuk bonda diiringi guru-guru. (Perakan masuk memang
ada pada setiap perhimpunan rasmi setiap Isnin. Sangat professional.) Tiba-tiba
perarakan terhenti.
“Bonda,
bonda…Kami rindu bonda…” Seorang pelajar lelaki melaungkan dengan gaya manja.
Tangan disilangkan ke dada. Lalu laungan itu disambut oleh pelajar lain.
“Bonda,
bonda…Kami rindu bonda…” Dewan bergema indah.
“Tepuk…Tepuk…Tepuk
rindu. Muah…Muah…Muah…” Sekali lagi suara seorang pelajar lelaki bergema. Irama
tepukan semua pelajar bersatu dengan gaya ‘flying kiss’.
“Sekali
lagi…” Dewan terus bergema meriah.
“VIP”
guru-guru terus bergerak ke tempat duduk yang disediakan pelajar. Majlis
dimulakan dengan nyanyian bersemangat lagu Negaraku dan Mekar SAKURA. Suara dan
lagu bersatu dalam satu rentak yang sama. Nyanyian yang sangat bertenaga Mekar
SAKURA dengan ‘pitching’ yang betul
selepas beberapa kali buat kesilapan dalam nyanyian dalam perhimpunan yang
lepas. Al-maklumlah lagu baru dicipta. Apapun kredit kepada guru muzik kerana
mampu menghasilkan lirik yang baik dan lagu yang sedap didengar. Kemudian
majlis diteruskan dengan bacaan doa yang menusuk kalbu. Disusuli pula dengan
‘public speaking’ istimewa buat pengetua. Ucapannya sangat fasih dan bertenaga.
Persis seorang pemimpin mat salleh sedang menyampaikan ucapan.
Kemudian
program diteruskan dengan tayangan video istimewa yang dibuat oleh pelajar khas
buat bonda. Kemudian bonda dijemput ke pentas. Sekali lagi bonda dikejutkan
dengan kad gergasi dari setiap kelas. Saya merisik-risik pelajar bilakah mereka
membuatnya. Kerana program ini daripelajar bukan guru. Jawapan mereka “petang
semalam”. Maksudnya Isnin semalam. Dengan jadual yang agak padat padat mereka
masih mampu menyediakan ruang masa menyiapkan kad-kad tersebut. Kad-kad yang
sangat kreatif. Ketika kad disampaikan dewan sekali lagi bergema dengan
nyanyian lagu Kau Ilhamku. Kemudian bonda menyampaikan ucapan. Berkongsi
pengalaman ketika beliau melakukan umrah dalam keadaan berpuasa. Semoga diri
ini juga mampu menjejakkan kaki ke sana suatu hari nanti. Amin.
Selepas
berakhir majlis, bonda diarak keluar dewan. Sekali lagi, tepuk rindu berpadu.
Ada pula yang sempat mencoretkan “I LOVE BONDA” pada buku catatan mereka
(Mereka wajib bawa buku catatan dalam setiap perhimpunan. Dan buku catatan
mereka akan disemak oleh kaunselor atau PK HEM. Terbaik punya!). Hasil coretan
mereka ditayangkan semasa bonda diarak keluar. Majlis yang ‘simple’ namun
tersusun dan sistematik. Ada sentuhan professional tetapi santai…I Like!
Usah
membunuh kekreatifan pelajar! Guru perlulah memberi peluang kepada pelajar
menonjolkan dan mengembangkan bakat yang mereka ada. Tugas guru hanya memantau
apa yang mereka buat. Biarkan mereka menyumbang idea dan melaksanakan idea yang
mereka cadangkan selagi mana masih ‘patuh syariat’. Mungkin ada yang mengatakan
ini satu ‘advantage’ kerana saya berada di ‘SBP’. Namun satu perkara yang
kalian perlu tahu, latar belakang pelajar-pelajar saya sebenarnya pelbagai.
Majoriti dari pelajar sekolah harian biasa, ada yang dari Bandar, pedalaman,
pelbagai bangsa dan agama. Kelebihan mereka hanya kerana keputusan peperiksaan
mereka ‘OK’ yang melayakkan mereka masuk ke SBP ini.
Pengalaman
saya belajar di sekolah dulu juga banyak membantu diri menjadi kreatif
berfikir. Sebagai contoh apa-apa program perasmian idea pelajar banyak
digunakan. Hari guru juga hampir kesemua disusun oleh pelajar. Guru melepaskan
kami mencari idea dan membuat keputusan. Secara tidak langsung minda pelajar
dapat diasah. Mungkin ada pelajar yang agak lembab dalam pelajaran. Namun
jangan dinafikan bakat dan kreativiti yang ada juga sebenarnya sebuah kejayaan
buat mereka.
Di dalam
kelas juga, hidupkan suasana berfikir dalam kalangan pelajar. Pembelajaran dua hala sangat penting.
Hidupkan komunikasi dengan pelajar. Timbulkan persoalan. Rangsang pelajar untuk
menjawab. Jangan kedekut pujian andai pelajar dapat menyelesaikan sesuatu
soalan yang diberi.
Untuk membina pelajar yang kreatif:
1. Bina
kepercayaan dalam diri pelajar untuk memberi idea.
2. Bina
keyakinan dalam diri pelajar mengutarakan idea yang bermain diminda.
3. Bina sikap
keterbukaan dalam diri pelajar agar mampu menerima sebarang kritikan.
4. Bina
kepercayaan dalam diri pelajar mereka mampu melaksanakan apa yang dirancang
Insya
Allah individu yang kreatif mampu
dilahirkan. Ingat, setiap orang ada minda kiri dan kanan. Maka maksimumkan penggunaan minda kiri dan
minda kanan untuk mencipta kekreatifan. Percayalah, setiap pelajar pasti ada
bakat yang terpendam. Setiap pelajar mampu mengeluarkan idea mereka andai ada
dorongan yang kuat. Maka siapa pendorongnya? Salah satunya adalah Guru!
No comments:
Post a Comment