Guru yang HEBAT adalah guru yang mampu menjadi INSPIRASI pelajar...Berusaha mendidik hati untuk mendidik pelajar dari HATI yang TULUS...Bukan sekadar mengharap pelajar menjadi pandai semata-mata tetapi mampu memancarkan ilmu untuk KEMENJADIAN pelajar...Maka diri ini bukan sekadar CIKGU tetapi berusaha melunaskan amanah sebagai KHALIFAH sementara masih bernyawa di bumi ALLAH ini...

Pages

Tuesday, 23 July 2013

Biarkan mereka mencipta kreativiti




                Sebelum ini rakan-rakan banyak bercerita tentang kekreatifan pelajar-pelajar SAKURA. Sehinggakan pada sambutan hari guru yang lepas mereka diperuntukkan sejumlah wang (ribuan RM) untuk merancang dan melaksanakan hampir 98% sambutan hari guru. Guru sekadar pemantau bukan pengacau. Guru menyediakan ‘guide line’ kasar yang perlu pelajar ikut agar sambutan hari guru bukan sambutan hari huru hara. Pernah berlaku hari guru jadi hari huru hara (Bukan sekolah inilah. Sekolah ini baru pertama kali menyambut hari guru kot!). Kadang-kadang bukan salah pelajar tetapi kadang-kadang disebabkan sebahagian guru yang terlebih ‘enjoy’ sehingga lupa sekejap mereka masih guru yang diperhatikan setiap tingkah laku oleh pelajar-pelajarnya.

                Berkenaan cerita kawan-kawan, pelajar telah diberi kebebasan untuk mengadakan sambutan hari guru selagi mana mencukupi dengan bajet yang diberi. Hasilnya?! Terserlah kekreatifam mereka! Bermula dari pagi hingga tamat waktu persekolahan yang diteruskan pula dengan agenda makan malam. Walau sekadar dibuat di dewan sekolah, sambutannya cukup hebat. Dengan limpahan lampu neon berwarna kuning, hijau dan merah yang memang tersedia di pentas utama dewan pasti menambahkan lagi aura kemeriahan pada malam tersebut.

                Audien tidak tertumpu pada pentas utama tetapi tertumpu di tengah-tengah dewan. Bahagian tengah dikosongkan dengan meja makan disusun membulat. Persembahan tertumpu di tengah dewan. Tambahan pula bilangan guru hanya mencapai 40 orang sedikit membantu penyusunan sedemikian dengan ruang dewan yang cukup besar. Majlis makan malam menjadi cukup santai. Lagu-lagu untuk guru disampaikan istimewa oleh pelajar dengan persembahan yang cukup kreatif. Keseluruhan dinding dewan dipenuhi bermacam-macam kad dari pelajar. Mungkin setiap orang membuat satu kad! Penuh dewan kot!

                Seperkara lagi pelajar tidak mendedahkan sepenuhnya acara yang bakal berlangsung. Guru memang di‘surprise’kan oleh pelajar. Bantuan ibubapa pelajar juga cukup memberangsangkan. Ada yang sanggup datang ke sekolah semata-mata menghantar pasu bunga untuk menyokong program yang diatur oleh anak mereka. Ada juga yang sanggup datang semata-mata menghantar langsir dan alas meja. Wow! Saya teruja mendengar cerita rakan-rakan. Teringat saya kepada buku The Leader In Me (berpandukan buku best seller Seven Habits karya R.Covey). Dalam buku ini menceritakan penglibatan ibubapa dengan program sekolah mampu memberi kesan positif dan inspirasi kepada pelajar.

                Tadi saya melihat sendiri secebis kekreatifan pelajar SAKURA menyambut kepulangan bonda pengetua dari umrah. Program yang berprotokal tetapi ‘happening’. Majlis bermula dengan perarakan masuk bonda diiringi guru-guru. (Perakan masuk memang ada pada setiap perhimpunan rasmi setiap Isnin. Sangat professional.) Tiba-tiba perarakan terhenti.

                “Bonda, bonda…Kami rindu bonda…” Seorang pelajar lelaki melaungkan dengan gaya manja. Tangan disilangkan ke dada. Lalu laungan itu disambut oleh pelajar lain.
“Bonda, bonda…Kami rindu bonda…” Dewan bergema indah.
“Tepuk…Tepuk…Tepuk rindu. Muah…Muah…Muah…” Sekali lagi suara seorang pelajar lelaki bergema. Irama tepukan semua pelajar bersatu dengan gaya ‘flying kiss’.
“Sekali lagi…” Dewan terus bergema meriah.

“VIP” guru-guru terus bergerak ke tempat duduk yang disediakan pelajar. Majlis dimulakan dengan nyanyian bersemangat lagu Negaraku dan Mekar SAKURA. Suara dan lagu bersatu dalam satu rentak yang sama. Nyanyian yang sangat bertenaga Mekar SAKURA dengan ‘pitching’  yang betul selepas beberapa kali buat kesilapan dalam nyanyian dalam perhimpunan yang lepas. Al-maklumlah lagu baru dicipta. Apapun kredit kepada guru muzik kerana mampu menghasilkan lirik yang baik dan lagu yang sedap didengar. Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan doa yang menusuk kalbu. Disusuli pula dengan ‘public speaking’ istimewa buat pengetua. Ucapannya sangat fasih dan bertenaga. Persis seorang pemimpin mat salleh sedang menyampaikan ucapan.

Kemudian program diteruskan dengan tayangan video istimewa yang dibuat oleh pelajar khas buat bonda. Kemudian bonda dijemput ke pentas. Sekali lagi bonda dikejutkan dengan kad gergasi dari setiap kelas. Saya merisik-risik pelajar bilakah mereka membuatnya. Kerana program ini daripelajar bukan guru. Jawapan mereka “petang semalam”. Maksudnya Isnin semalam. Dengan jadual yang agak padat padat mereka masih mampu menyediakan ruang masa menyiapkan kad-kad tersebut. Kad-kad yang sangat kreatif. Ketika kad disampaikan dewan sekali lagi bergema dengan nyanyian lagu Kau Ilhamku. Kemudian bonda menyampaikan ucapan. Berkongsi pengalaman ketika beliau melakukan umrah dalam keadaan berpuasa. Semoga diri ini juga mampu menjejakkan kaki ke sana suatu hari nanti. Amin.

Selepas berakhir majlis, bonda diarak keluar dewan. Sekali lagi, tepuk rindu berpadu. Ada pula yang sempat mencoretkan “I LOVE BONDA” pada buku catatan mereka (Mereka wajib bawa buku catatan dalam setiap perhimpunan. Dan buku catatan mereka akan disemak oleh kaunselor atau PK HEM. Terbaik punya!). Hasil coretan mereka ditayangkan semasa bonda diarak keluar. Majlis yang ‘simple’ namun tersusun dan sistematik. Ada sentuhan professional tetapi santai…I Like!

Usah membunuh kekreatifan pelajar! Guru perlulah memberi peluang kepada pelajar menonjolkan dan mengembangkan bakat yang mereka ada. Tugas guru hanya memantau apa yang mereka buat. Biarkan mereka menyumbang idea dan melaksanakan idea yang mereka cadangkan selagi mana masih ‘patuh syariat’. Mungkin ada yang mengatakan ini satu ‘advantage’ kerana saya berada di ‘SBP’. Namun satu perkara yang kalian perlu tahu, latar belakang pelajar-pelajar saya sebenarnya pelbagai. Majoriti dari pelajar sekolah harian biasa, ada yang dari Bandar, pedalaman, pelbagai bangsa dan agama. Kelebihan mereka hanya kerana keputusan peperiksaan mereka ‘OK’ yang melayakkan mereka masuk ke SBP ini.

Pengalaman saya belajar di sekolah dulu juga banyak membantu diri menjadi kreatif berfikir. Sebagai contoh apa-apa program perasmian idea pelajar banyak digunakan. Hari guru juga hampir kesemua disusun oleh pelajar. Guru melepaskan kami mencari idea dan membuat keputusan. Secara tidak langsung minda pelajar dapat diasah. Mungkin ada pelajar yang agak lembab dalam pelajaran. Namun jangan dinafikan bakat dan kreativiti yang ada juga sebenarnya sebuah kejayaan buat mereka.

Di dalam kelas juga, hidupkan suasana berfikir dalam kalangan pelajar.  Pembelajaran dua hala sangat penting. Hidupkan komunikasi dengan pelajar. Timbulkan persoalan. Rangsang pelajar untuk menjawab. Jangan kedekut pujian andai pelajar dapat menyelesaikan sesuatu soalan yang diberi.

Untuk membina pelajar yang kreatif:
1.       Bina kepercayaan dalam diri pelajar untuk memberi idea.
2.       Bina keyakinan dalam diri pelajar mengutarakan idea yang bermain diminda.
3.       Bina sikap keterbukaan dalam diri pelajar agar mampu menerima sebarang kritikan.
4.       Bina kepercayaan dalam diri pelajar mereka mampu melaksanakan apa yang dirancang

Insya Allah  individu yang kreatif mampu dilahirkan. Ingat, setiap orang ada minda kiri dan kanan.  Maka maksimumkan penggunaan minda kiri dan minda kanan untuk mencipta kekreatifan. Percayalah, setiap pelajar pasti ada bakat yang terpendam. Setiap pelajar mampu mengeluarkan idea mereka andai ada dorongan yang kuat. Maka siapa pendorongnya? Salah satunya adalah Guru! 

Thursday, 18 July 2013

5 S


11 Julai 2013

                Rutinku bermula. 6.30 pagi perhimpunan harian atau lebih dikenali sebagai ‘roll call’ akan bermula. 7.00 pagi kelas bermula. Setengah jam lebih awal dari waktu persekolahan di semenanjung. Badan masih dalam proses membiasakan diri dengan waktu tersebut.
                Seawal 6.15 atau 6.20 pagi saya akan mula turun dari rumah untuk ke sekolah. Menumpang kereta teman serumah. Jarak rumah ke bangunan utama sekolah boleh tahan jauhnya. 10 000 cm. Atau lebih mudah dalam 100 meter sahaja. Biasalah tinggal di kuarters guru. Dalam pagar sekolah itu juga. Beberapa minit sahaja terpacak di pejabat untuk ‘punch card’.
                “Cikgu-cikgu sekolah ini macam ada satu ‘trend’ yang sehati sejiwa. ‘Parking’ kereta mengundur. Jadi kereta dalam kedaan mudah untuk keluar nanti.” Hati berbicara bila teman serumah memarkir kereta bersama beberapa buah kereta lain dengan teknik parking yang sama.  Hari berikutnya ‘trend’ tersebut masih dilihat dengan jelas. Tiada yang memarkir kereta dengan masukkan tayar hadapan dulu seperti kebiasaan. Sekadar hati erbicara sendirian. Nak bertanya, agak kurang penting rasanya.
                “Pengetua sekolah ini sangat sistematik. Dia sangat menekankan system 5S yang diadaptasi dari system yang diperkenalkan di Negara Jepun.” Rakan-rakan guru berkongsi dengan kami guru-guru baru tentang pengetua sekolah. Saya bersama seorang lari rakan yang baru di’posting’kan tekun mendengar kisah setiap batang tubuh di tempatku berkhidmat itu.
                “Dia sangat menekankan 5 S dalam setiap genap tugas dan rutin guru. Dari system fail sehingga cara parking kereta.” Seorang rakan lain menambah.
                “Oh, patutlah.” Akhirnya gelombang perkara yang bermain di fikiran saya sampai kepada rakan tersebut untuk diterangkan. Nampak ‘simple’namun di situ akan tertonjol nilai disiplin yang tinggi dalam kalangan guru. Guru seharusnya lebih berdisiplin dari pelajar. Nice experience!
                Kita sering berteori yang di ‘copy paste’ dari bangsa lain dalam hidup seharian. Benar tiada salah untuk megikutnya selagi mana tidak menyalahi syariat. Tetapi di mana orang Islam yang hebat? Yang boleh mencipta sistem berpandukan Al-Quran dan Al-hadis. Yang boelh diikuti oleh masyarakat umum seantaro dunia. Sebagaimana konsep 5S yang berjaya merentasi dunia.
                Ya, saya suka konsep 5S yang diperkenalkan ini. Mampu mendisiplinkan guru serta mampu memberi imej elok kepada orang luar tentang sesebuah sekolah. Sebagaimana Islam agama yang penuh nilai disiplin dan sistematik. Bermula dari bangun tidur sehingga bangun kembali keesokan harinya. Ada aturan yang sangat cantik disusun Ilahi. Sebagai orang Islam, sepatutnya kita mempunyai nilai disiplin yang tinggi sebagaimana didikan disiplin dalam agama Islam.

Isaac


11 Julai 2013

                Isaac. Namanya terpampang jelas pada tag kain yang ditampal elok pada persalinan baju unifom putih sekolah. Seorang pelajar Kristian. Berbadan agak gempal. Rendah sahaja budaknya.
                “Ok class, now you can start your discussion. Make sure that all group members are involved in the discussion. Share your ideas with others.” Saya sekadar mundar mandir memantau. Masing-masing seronok mencipta ‘cheers’ berdasarkan unsur-unsur yang ada di bumi yang diwakili kumpulan masing-masing. Kadangkala dibiarkan pelajar berseronok dalam pembelajaran Sains agar pengajaran dan pembelajaran tidak membosankan. Berseronok tetapi terkawal. Berseronok tetapi tidak lari dari silibus.
                Kelihatan si budak gempal Isaac membuat kerjanya sendiri. Melakar sesuatu tanpa menghiraukan orang lain.  Saya hanya memandang. Terus mengatur langkah ke hadapan. “Please give your cooperation in your group. Give your ideas and not only depending on your friends’ ideas.” Peringatan lebih menyeluruh walaupun hakikatnya ingin ditujukan kepada kumpulan di belakang sekali. Kumpulan Isaac.
                Sekali lagi kaki diatur ke belakang. “Miss, susahlah orang tak nak bagi cooperation.” Seorang ahli kumpulan satu kumpulan dengan Isaac mengadu.
                “Buat apa bagi cooperation pada orang yang busuk hati.” Saya agak tersentap dengan kata-katanya. Matanya masih fokus pada lakaran yang saya juga tidak memahaminya. Yang lain meneruskan perbincangan. Harap mereka tidak mendengarnya. Apatah lagi Isaac ‘isolated’ dari kumpulan tersebut. Dijarakkan kedudukannya.
                “Isaac, what is your problem?” Saya bertanya. Sengaja diperlahankan suara.
                “Miss, can I change to the other group. No, you can’t.” Saya terpaksa bertegas. Cuba berlaku adil.
                “Isaac, do you have any problem with them?” Saya cuba berlembut. Tiada respon. Saya membiarkan dia sendirian. Fokus saya perlu diberikan kepada pelajar-pelajar lain juga. Bukan Isaac seorang.
                “Isaac, wait.” Masa mengajar tamat. Dia berjalan agak lemah. Masih dengan langkah longlai sedangkan rakan-rakannya mempercepatkan langkah untuk ke kelas seterusnya.
                “Isaac, what’s wrong with you? Can you tell me.” Sekarang baru saya member fokus kepadanya.
                “Miss, they are racists.”
                “Miss, they always call me bla…bla…bla…” saya agak blur. English dia boleh tahanlah.
                “Apa mereka cakap tentang kamu?” Berbahasa kebangsaanlah. Lagipun pembelajaran telah tamat. Nanti tak sampai maksud. Sudahlah masa terlalu suntuk.
                “Dia cakap tentang keadaan fizikal saya.”
                “Sebab kamu agak gempal?” Saya sekadar meneka. Dia mengangguk.
                “Isaac, kamu bukannya gemuk sangat pun saya tengok. Ok je. Yang penting kamu sentiasa sihat. Abaikan mereka. Saya tak nak kamu macam ini lagi dalam kelas. Walau apapun keadaan kamu kamu kena bersyukur. Just ignore whatever they call you. I want you do the best in academic. Buktikan.”
                “I will try. Thank you Miss. Thanks for your trust. See you Miss.”
                “Ok, see you.” Saya melambainya dengan senyuman. Senyuman terukir pada bibirnya. Diharap ada perubahan.
                Keesokannya. Nampaknya dia semakin selesa. Walaupun baru semalam saya mula mengajarnya, dia tidak segan soalan demi soalan sepanjang sesi pengajaran.
                “Are you ok today, Isaac?”
“Yes, I am.” Isaac terus keluar mengambil beg. Lalu masuk kembali. “Miss, you want me to switch off the fans?”
“Oh, sure. Thanks Isaac.”
“See you miss.” Positive respond!
                Bila bertanya kepada rakan lain tentang Isaac, mereka memberitahu Isaac bermasalah. Saya masih tidak pasti samada Isaac atau rakan-rakannya bermasalah. Saya akan berusaha mendekati Isaac dan cuba memahami masalahnya.
                Itulah antara tugas guru. Memahami hati-hati manusia. Bukan seorang dan bukan dua atau tiga orang. Tetapi berpuluh-puluh dan beratus-ratus. Banyak hati perlu dijaga saat berbicara. Walaupun di hadapan guru mereka mungkin masih kanak-kanak ‘ribena’, perasaan mereka perlu dijaga. Kadangkala mereka lebih sensitif. Apatah lagi saat mereka sedang membesar mengenal dunia.
                Selepas memahami hati-hati mereka proses mendidik hati diteruskan. Andai ada hati yang sudah terluka, perlu dirawat segera sebelum bertambah parah. Berhati-hati dengan hati. Hati bukan sekadar segumpal daging tetapi ia mewakili jasad keseluruhannya. Benar, terlalu sukar mendidik hati. Apatah hati kanak-kanak ‘ribena’. Sukar!
                Apapun, sebagai guru jangan berhenti mendoakan pelajar-pelajar. “Ya Allah, engkau berikanlah hidayah kepada pelajar-pelajarku yang masih belum Islam. Ya Allah berikanlah kefahaman yang jelas kepada pelajar-pelajarku. Aku hanya mengajar tetapi engkau yang memahamkan mereka. Amin.”
                Teruskan membina hubungan yang baik dari hari pertama bertugas. Buatkan mereka merasa selesa dengan kita. Tiada masalah ingin bergurau senda tetapi dalam kedaan terkawal. Senyum, tanya khabar dan salam. Ini antara tida eleman penguat ikatan antara guru dan pelajar. Semoga Allah mmeberi hidayah kepada Isaac.

Oh, my English!


11 Julai 2013

                Oh, my English! Sungguh diakui bahawasanya diri ini tidaklah bagus sangat untuk berbahasa Inggeris. Bila melihat rata-rata pelajar mampu bercakap Inggeris dengan fasih, hati dilanda debaran mengancam. Wow! Hebat. Macam berada di ‘oversea’ dah. (Memang ‘oversea’ pun! ‘Over South China Sea’…huhu)
                Mahu tidak mahu, kena juga bercakap Inggeris. Maka al-kisahnya bermula, digarapnya ayat-ayat indah untuk diungkap. Bercakap seorang diri dalam bilik mahupun buat latihan awal di dalam makmal (sebab makmal agak sedikit ke belakang). “Bila menjadi guru, kamu tiada alasan untuk menolak dari melaksanakan sesuatu arahan yang diberi. Mungkin kamu akan mengajar English. Sebab kita kekurangan guru English.” Gulp. Kata-kata pengetua ditelan satu persatu. Imposibble! Oh, my English! Rosak pelajar. Alhamdulillah, kata-kata itu bukan kenyataan. Tapi mengajar Sains dan Biologi masih dalam bahasa Inggeris. Kadang-kadang campur juga la saat kebuntuan.
                Be positive! Perkataan ini sungguh mendamaikan. Terasa senang walaupun beban melanda. Terasa bahagia walaupun ujian menimpa. Itu lumrah hidup. Dan hidup ini adalah sebuah proses pembelajaran yang penuh dengan kejutan demi kejutan. Ujian yang menimpa kadangkala terpaksa dilaluinya tanpa persediaan. Datangnya megejut. Menyentap jantung yang setia mengepam darah ke seluruh salur-salur darah di seluruh badan.
                Lantas, ini adalah salah satu proses pembelajaran. Proses untuk mahir berbahasa Inggeris. Memaksa diri bercakap Inggeris walaupun dalam keadaan tatabahasa berterabur dan maknanya lintang pukang. Asal boleh difahami. Haraplah! Cabaran di sahut. Strategi diatur. Semoga diri ini mampu mengharunginya. Terima kasih pelajar kerana menjadi sebahagian guru yang mengajar saya berkomunikasi dengan betul. Bagaimana? Memberi mereka tugasan ‘presentation’…So, I can learn how to pronounce correctly. You are the best my students!
                Kepada yang masih di alam university, belajar dan berusahalah untuk mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Masing-masing mempunyai cara tersendiri. Teruskan.

Teman serumahku bukan Islam


10 Julai 2013

“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
“Sihat?”
“Alhamdulillah.”
“Mak?”
“Sihat.”
“Macam mana rumah?”
“Ok, kemudahan ok. Sekolah baru kan. Mesin, dapur, peti ais, TV dan tilam semua dah ada. Ada teman yang teman serumah punya. Dia beli.”
“Ok la tu semua sudah ada.”
“Berapa orang serumah?”
“Tiga orang. Tapi yang dua lagi bukan Islam.”
“Apa? Bukan Islam? Makan macam mana? Tak boleh tukar ke rumah?” Mak mula menggelabah. Saya masih bertenang. Sudah mengjangka tingkahnya. Negeri Kelantan majority Melayu dan Islam. Sangat sukar menemui Islam dan bukan Islam duduk serumah. Itu yang fobia semacam.
“Ok la mak. Mereka baik je. Makan tiada masalah. Mereka faham. Tiada masalah la.” Ada sedikit ketenangan di hatinya.
Persepsi orang Islam kepada bukan Islam perlu diubah. Mereka juga makhluk Allah yang masih belum dibuka hatinya untuk Islam. Adakah mereka silap kerana tidak menerima Islam? Atau kita yang salah kerana tidak melaksanakan kewajipan dakwah kepada mereka?
“Akak, kalau tidak ‘lalu’ makan makanan yang kami masak tak apa. Akak cakaplah. Kami tidak kisah.” Teringat perbualan kami ketika di dapur. Dia tergagap-gagap menghabiskan kata-katanya. Mungkin suda lama dipendam untuk diluahkan. Aku hanya tersenyum.
“Akak ok je la. Asalkan yang halal.” Dia hanya tersenyum. Kami memasak bersama.
Yang haram adalah arak, babi dan seumpamanya yang telah dijelaskan hukumnya oleh Allah. Bukan makanan yang dimasak oleh bukan Islam. Selagi mana halal, tiada halangan untuk kita sebagai orang Islam makan.
Bersama dengan mereka sebagai penganut Kristian memberiku lebih ruang untuk mengaplikasi ilmu perbandingan agama yang pernah saya pelajari dulu. Tiadalah pakar sangat. Sekadar mengetahui asas sahaja. Ada kemusykilan tentang agama Kristian saya akan bertanya. Begitu juga mereka, ada persoalan tentang Islam saya juga akan cuba menjawabnya dengan sebaiknya. Harmoni bukan? Tiada sebab bersangka buruk pada mereka. Islam itu tinggi dan selama-lamanya tinggi. Islam itu benar dan selama-lamanya akan benar. Tiada sebab untuk orang Islam goyah dengan sebab persoalan-persoalan dari bukan Islam. Jika tidak tahu bertanyalah orang yang lebih alim. Pasti ada jawapan.
Kadangkala saya membiarkan majalah-majalah berbentuk ilmiah di atas meja tamu. Ruang tamu menjadi medan untuk kami beristirehat. Kerana tiada buku lain di atas meja tamu, kadangkala tangan mereka membelek-belek majalah-majalah tersebut. Suatu ketika salah seorang dari mereka bertanya tentang satu hukum. Persoalan tersebut sebenarnya merujuk kepada sebuah subtopic perbincangan dalam sebuah koleksi majalah saya yang turut dipaparkan psersoalan tersebut pada muka depan majalah tersebut. Tajuk itu telah saya baca. Tiada masalah untuk memberi jawapan. Saya kembalikan persoalan kepada agamanya. Satu persoalan dijawab dengan “Entahlah”. T,iada jawapan konkrit. Krit…Krit…Saya tersenyum sahaja.
Saya menghamparkan sejadah. Dia memanggil. Saya menyahut. “Oh, akak nak solat ye? Akak solatlah dulu. Selepas akak solat kita masak ye.” Dia memahami.  “Ok.”
“Akak, puasa nanti kami boleh tolong masakkan.” Teruja dia memilih lauk pauk mentah untuk dimasak. “Ok, kita masak sama-sama.” Tangan ligat memilih sayur-sayur segar. “Akak, tak nak beli kurma ini ke?” Tangannya memegang kotak-kotak kurma. “Akak sudah beli kurma. Bawa dari semenanjung.”
“Akak, jangan keluar tandas lagi tau. Ada pak guard datang betulkan pintu.” Dia sedikit berteriak. “Ok, guard sudah balik beritahu ye.” Aku melaung kembali dari tandas. “Akak sekejap lagi budak-budak lelaki nak datang. Bersedialah.” Aku memahami perkataan bersedia tersebut. Bersedia menutup aurat. Sekejap lagi rakan-rakan guru lelaki dan perempuan akan berkumpul. Inilah aktiviti mingguan kami. Masak dan makan ramai-ramai dengan guru-guru yang tinggal di kuarters. Dia memahami tuntutan menutup aurat. Itulah beberapa kisah saya dengan teman serumah bukan Islam.
Orang bukan Islam tidak memahami Islam kerana salah orang Islam sendiri tidak cuba memahamkan mereka. Kadangkala masih ada orang Islam sendiri tidak faham Islam. Hanya sekadar Islam pada kad biru bernombor dan bergambar. Sedih.
Teringat kata-kata yang diungkap oleh saudara Islam yang kembali kepada agama fitrah Islam. “Di akhirat nanti saya akan tuntut dengan orang-orang Islam di sekeliling rumah kedua ibubapanya yang tidak menyampaikan Islam kepada kedua ibubapanya yang telah meninggal dunia sebelum sempat melafazkan syahadah.” Benar, itulah yang bakal kita hadapi akhirat kelak. Orang-orang bukan Islam akan menuntut dan menahan kaki kita melangkah ke syurga dengan asbab kita tidak membawa mereka mengenal Allah. Kita tidak menjalankan dakwah!
Tuntutan berkhidmat di bumi Sarawak sebenarnya membuka ruang dakwah yang lebih luas jika kita mengerti tuntutan dakwah tersebut. Ya dakwah! Dakwah kepada yang bukan Islam. Pada masa sama teruskan tanggungjawab mengislahkan ummah yang kebajetan nilai keislaman.  
“Dakwah dan islah perlu seiring. Bukan sekadar fokus pada pengislahan masyarakat Muslim sahaja.” Itulah kata-kata guru saya yang mendalami ilmu perbandingan agama. Dia mendefinasikan dakwah adalah proses untuk mengajak orang bukan Islam kepada Islam manakala islah adalah proses membaiki umat Islam Islam agar menjadi Muslim yang lebuh baik. Ramai orang Islam banyak melakukan islah dan kurang dakwah.
Benar. Kerja dakwah itu bukan mudah. Jika tiada ilmu, galilah ia. Jika tiada pengalaman, kenapa tidak digunakan masa sekarang utuk mengambil peluang untuk mencipta pengalaman? Ciptalah alasan untuk berdakwah bukan mencari alasan untuk melarikan diri dari melunaskan tanggungjawab dakwah. Mulakan dahulu dari dakwah melalui hal yakni melalui perbuatan kita jika masih tidak mampu melalui perkataan. Kemudian susunlah langkah seterusnya dakwah melalui perkataan atau atau kata-kata. Andai diberi kuasa, itu lebih baik baik meluaskan empayar dakwah Islam. Islam itu indah, maka sebarkan keindahan Islam ke seluruh ummah di dunia ini sehingga keindahan Islam terus terpancar di setiap sudut dunia. Mulakan dakwah hari ini…J

Tuesday, 16 July 2013

Hadiah istimewa dari Semenanjung


9 Julai 2013



“Ini hadiah untuk cikgu…”
“Saya baru balik dari semenanjung.”
Keesokan harinya.
“Ini hadiah untuk akak…”
“Saya baru balik dari semenanjung…”
Lidah kelu. Kenapa dua hari berturut-turut mendapat hadiah yang sama dari pelajar dan rakan guru? Kedua-dua dari semenanjung.
“Selalu kalau balik dari semenanjung mereka belikan hadiah ini…” Rakan guru menjelaskan.
Oh…! Kenapa? Hanya hati berbicara sendiri.
Bicara hati masih tiada noktah.
“Istimewakah hadiah itu?!”
“Biasa je…”
“Selalu je makan.”
                Roti gardenia yang berharga RM 0.70 rupa-rupanya sering menjadi buah tangan mereka yang ke semenanjung. Baru aku tahu di sini tiada roti sedap Gardenia ini. Roti yang sering menjadi sarapan dan minum malamku ketika aku bermastautin di semenanjung. Sarawak? Kempunan nak makan roti Gardenia, tunggu hadiah dari semenanjung atau apabila pulang bercuti sahaja jawabnya. Atau saya hanya sekadar mampu menjamahnya di alam mimpi?
                Benarlah. Sesuatu itu akan dirasai sangat berharga bila ia tiada. Sebagaimana kita kadangkala terlupa dengan nikmat mata yang diberi percuma oleh Allah. Lalu digunakan untuk melihat perkara yang tidak elok. Bila mata itu ditarik balik, baru kita sedar nikmatnya ada mata. Apatah lagi nikmat-nikmat lain. Agak malang kepada kita yang sekadar menerima nikmat Allah tanpa membalas balik dengan menjadi hambaNya yang taat. Sebagaimana seorang anak yang diberi makan, minum dan segala keperluan secukupnya namun menjadi penderhaka kepada ibubapaNya. Anak derhaka. Itulah istilah yang biasa digunakan. Mahukah kita ingin menjadi hambaNya yang derhaka?
                Belajarlaah bersyukur dengan setiap nikmat yang dikurniakan Allah. Ringankan lidah menyebut Alhamdulillah tanda kesyukuran kita kepadaNya. Tidak terlalu sukar bukan. Cuma perlu dirutini. Bila? Mulakan sekarang.
                Justeru, dari sebuku roti saya terus mempelajari bab SYUKUR. Bersyukur kerana dipilihNya menjadi pendidik. Bukan sekadar menjadi guru sains. Tetapi saya ingin menjadi sebahagian guru yang mampu mampu mendidik hati. Bersyukur juga kerana diberi peluang ‘melancong’ di bumi Sarawak dengan tajaan tiket percuma walaupun setahun sekali sahaja. Melancong sambil mengajar. Melancong sambil berdakwah. Seronok bukan?
                Bagi seorang pejuang Islam penjara menjadi tempat beristirehat. Bagi pejuang Islam dibuang negeri adalah sebuah pelancongan. Bagi seorang pejuang Islam mati adalah piala yang paling diimpikan. Jasad mereka didera. Namun hati mereka bahagia. Kerana matlamat mereka jelas. Mencapai redhaNya. Namun perjuangan saya bukan sampai ke tahap itu. Masih lagi dilimpahi pelbagai kenikmatan dan keindahan. Bagai langit dan bumi. Sentiasa positif.
                Bagi rakan-rakan bakal guru yang masih belajar dalam bidang pendidikan atau masih menunggu surat ‘cinta’ dari KPM, bersedialah untuk melancong di bumi Sabah Sarawak. Bumi yang kaya dengan flora dan fauna ini perlukan khidmat bakti kalian. Bagi rakan-rakan guru yang terasa sengsara di bumi Sabah Sarawak, berilah ruang untuk minda melihat hikmah yang ingin ditunjukkan Allah. Bukalah kunci hati untuk melihat nikmat Allah. Buka kembali kitab Hadis 40 karya Imam Nawawi. Baca dan hayatilah makna hadis pertama yang dibahaskan. Niat. Setiap amalan bermula dengan niat. Bagi yang sudah berbahagia di bumi merentasi Laut China Selatan, Alhamdulillah. Teruskan melazimi lidah mengucapkan syukur atas nikmatNya. Pelaburan pahala terbuka luas. Ambillah peluang itu. 

Bekerjalah untuk kepuasan


8 Julai 2013

                “Berkerjalah untuk kepuasan.”

Kata-kata pengetua tempat saya diberi peluang menjadi guru ganti tersemat di hati. Setiap kali selepas mesyuarat mingguan guru prinsip yang dipegang beliau diulang-ulang. Saya memahami beban yang dibebani beliau sebagai pengetua juga sebagai guru, isteri, ibu, nenek juga sebagai anak sudah pasti terlalu banyak beban yang perlu dipikul. Di sebalik tubuhnya yang kecil molek, ada ketegasan seorang ketua. Namun, setiap kali selepas mesyuarat kata-kata maaf dan terima kasih menjadi rutin bibirnya untuk diucap. Senyuman diukir.

Bilamana kaki ini ‘benar-benar’ melangkah ke alam pekerjaan sebagai pendidik kata-kata ini sering bermain di fikiran. Jika sebelum ini aku hanya sekadar guru praktikal dan guru ganti, masih terlalu jauh peranannya berbanding menjadi ‘guru tetap’. Ketika berpraktikal dan menjadi guru ganti, jika ada tekanan baik dari pelajar mahupun bebanan kerja, hati boleh berkata “Bertahanlah…pada X haribulan Y adalah hari terakhir kamu dah.” Namun, bila bergelar guru tetap tiada jaminan pada tarikh tertentu kita dipindahkan walaupun kita tidak suka dengan pelajar, pentadbiran mahupun rakan-rakan guru lain.

Saat kaki melangkah bumi Kenyalang pada 1 Julai 2013 lepas, fikiran terus ligat mencipta alasan untuk seronok berada di Kuching. Berikut adalah beberapa alasan yang berjaya dicipta:
1.       “Sekolah ini di bandar, lebih baik dari berada di pedalaman yang kena merentas sungai berbuaya dan merentas bukit bakau.”
2.       “Sekolah ini budaknya pandai-pandai, lebih baik dari mengajar pelajar yang bermasalah.”
3.       “Sekolah ini 15 km sahaja dari lapangan terbang. Senang balik kampung. Kawan saya sampai dua tiga jam baru sampai lapangan terbang…J
4.       Rupa-rupanya saya satu penerbangan dengan seorang rakan guru dari Johor. “Saya sudah ada kawan. Lebih baik dari kawan saya yang seorang diri posting di sesebuah sekolah.”

Teringat akan petikan ayat dari Surah Ar-Rahman yang diulang sebanyak 31 kali dalam surah tersebut:

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan" Ya Allah semoga aku tidak tergolong dari golongan yang kufur nikmatmu. Bila kaki menjejak sekolah dan kuarters guru, akal terus aktif mencipta lebih banyak alasan untuk seronok di sini:
1.       “Alhamdulillah, sekolah baru.”
2.       “Alhamdulillah, dapat duduk di kuarters yang selamat, lengkap dan sangat selesa.”
3.       “Alhamdulillah, surau depan kuarters sahaja. Boleh selalu turun berjemaah.”
4.       “Alhamdulillah, gelanggang bola jarring, bola tampar dan badminton depan kuarters je. Boleh selalu bersukan.”
5.       “Pergi sekolah dapat lenggang kangkung. Tiada lagi kesesakan lalu lintas. Tiada lagi tol. Jimat minyak.”
6.       “Alhamdulillah, pelajar yang sangat berdisiplin dan baik.”
7.       “Alhamdulillah, dapat teman serumah bukan Islam. Peluang dakwah.”
8.       “Alhamdulillah, rupa-rupanya rumah saudara dekat sahaja dengan sekolah (baru nak cari saudara).”
9.       “Rakan-rakan perkenalkan rakan-rakan mereka di Sarawak. Alhamdulillah, makin ramai kawan. Rumah mereka juga tidak jauh dari sekolah.”
10.   “Alhamdulillah, rakan-rakan guru yang sangat baik.”
Tidak cukupkah nikmat yang Allah berkan?!

“Berkerjalah untuk kepuasan.” Bagaimana? Bagi saya kepuasan sebenar bilamana setiap perkara yang dilakukan mampu membawa saya matlamat yang jelas untuk menuju redhaNya. Berlaku amanah dalam setiap tugasan yang diberi dan ikhlaskan niat ketika melaksanakannya. Pandangan Allah itu lebih utama dari pandangan manusia.

Teman, jika hidup ini terlalu fokus kepada masalah, masalah tidak pernah luput dari dari menjadi sebahagian hidup manusia. Fikirkan masalah tanpa bertindak bukanlah jalan penyelesaian. Sekadar menambahkan tekanan dan bebanan masalah yang dipikul. Bukan setakat mental, fizikal akan turut sama merasai bebanan tersebut.

Bukankah lebih baik untuk fikirkan perkara yang baik-baik sahaja?! Bukalah minda untuk memberi ruang kepada perkara-perkara baik menjadi sebahagian subjek untuk difikirkan. Hidup ini dipenuhi dengan terlalu banyak nikmat untuk disyukuri. Galilah nikmat tersebut untuk menikmati indahnya nikmat kurniaanNya. Usah terlalu fikirkan orang yang mendapat lebih baik dari kita tetapi cubalah menyelami kisah mereka yang terpaksa melalui pengalaman yang lebih pahit dari kita. Nikmat itu indah. Syukur itu menenangkan.

Semangat hijrah


7 Julai 2013


Bila laman web Suruhanjaya Pelajaran (SPP) memaparkan keputusan ‘posting’ saya di sekolah berasrama penuh (SBP), setiap hari saya masih lagi terus berdoa agar diberikan sekolah yang begini begini. Akal cuba berimaginasi sekolah idaman. Dekat dengan rumah, dekat dengan kawan-kawan, pentadbiran yang bagus, pelajar-pelajar yang baik, dekat dengan Bandar, ada pelbagai kemudahan dan bermacam-macam lagi imaginasi sekolah idaman. Hakikatnya, tiada sekolah yang sempurna sebagaimana imaginasi akal! Kehidupan seorang pendidik tidak pernah sunyi dari ujian demi ujian yang menuntut sebuah pengorbanan. Si anak perlu tinggalkan ibu ayah. Si isteri perlu tinggalkan suami. Si suami perlu tinggalkan isteri. Si ibu perlu tinggalkan anak. Mahligai perlu ditinggalkan. Itulah antara cebisan pengorbanan seorang guru. Seronokkah menjadi guru?
Maka saya telah meminta bantuan kawan untuk menelefon pihak SBP untuk mengetahui sekolah yang bakal saya tempatkan. Tidak sanggup rasanya telinga ini menerima keputusan di luar imaginasi sekolah idaman saya. Hati ini tidak pernah henti berbicara sepi menambahkan rasa debaran di hati. “Adilah, bersedialah untuk ke Sabah Sarawak.” Pada masa itu saya tidak henti berdoa agar dipermudahkan urusan dan ditempatkan di sekolah yang terbaik untukku menjadi seorang guru dan juga seorang daie kepada ummah. Walau di mana berada jiwa daie itu perlu ada dalam setiap muslim selagi mana di situ adanya jiwa-jiwa manusia.
“Sekolah Menengah Sains Kuching Utara.” Tersekat-sekat bicara sahabat. Saya dapat meneka. Terus air mata mengalir deras tanpa henti. Rasa tidak mahu berbicara dengan siapa. Negeri ini bukan negeri idaman. Jauh dari keluarga. Saya tidak kenal siapa. Saya tidak pernah jejak kaki ke situ. Bagaimana saya mahu menghabiskan detik-detik yang berlalu? Jiwa terasa kosong. Mahu sahaja megutuk diri kenapa memilih bidang pendidikan ini. Wuduk diambil untuk tunaikan solat sunat dhuha dan solat sunat hajat. Mohon kekuatan dari yang Esa.
Saya sering memberitahu teman-teman saya adalah seorang yang sering berfikiran positif. Benarkah aku benar-benar seorang positif? Dalam doa ku mohon petunjukNya. Saya cuba membina semangat. Saya cuba membina kembali prinsip ‘positifkan diri’ yang sering saya ucapkan. Saat itu, terimbau kembali kisah hijrah Rasulullah ke Madinah. Hijrahnya Rasulullah bersama sahabat penuh dengan ujian. Beratnya tidak terperi. Jika dibandingkan hijrah yang bakal saya lalui nanti sangatlah jauh ukurannya. Semangat hijrah inilah yang menguatkanku untuk menerima hakikat yang saya akan bergelar warga pendidik di bumi kenyalang.
Cukuplah sehari air mata ini tumpah. Air mata tidak mampu mengubah keputusan yang diterima. Setiap kali ada teman datang menceritakan masalah kepada saya, saya sentiasa menasihati mereka agar sentiasa positifkan diri dan menggali hikmah yang cuba disampaikan Allah. Dan sekarang giliran saya untuk menggali hikmah yang ingin disampaikan Allah melalui takdir yang Dia tetapkan ini. Minda terus melakar apa yang aku akan lakukan di Sarawak nanti…
“Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada hambaMu ini. Permudahkanlah segala urusanku baik urusan dunia mahupun urusan akhirat. Sesungguhnya aku ini hambaMu yang lemah. Hanya kepadaMu aku bergantung dan berharap. Bantulah hambaMu ini Ya Allah. Amin.”