8 Julai 2013
“Berkerjalah
untuk kepuasan.”
Kata-kata
pengetua tempat saya diberi peluang menjadi guru ganti tersemat di hati. Setiap
kali selepas mesyuarat mingguan guru prinsip yang dipegang beliau diulang-ulang.
Saya memahami beban yang dibebani beliau sebagai pengetua juga sebagai guru,
isteri, ibu, nenek juga sebagai anak sudah pasti terlalu banyak beban yang
perlu dipikul. Di sebalik tubuhnya yang kecil molek, ada ketegasan seorang
ketua. Namun, setiap kali selepas mesyuarat kata-kata maaf dan terima kasih
menjadi rutin bibirnya untuk diucap. Senyuman diukir.
Bilamana kaki
ini ‘benar-benar’ melangkah ke alam pekerjaan sebagai pendidik kata-kata ini
sering bermain di fikiran. Jika sebelum ini aku hanya sekadar guru praktikal
dan guru ganti, masih terlalu jauh peranannya berbanding menjadi ‘guru tetap’.
Ketika berpraktikal dan menjadi guru ganti, jika ada tekanan baik dari pelajar
mahupun bebanan kerja, hati boleh berkata “Bertahanlah…pada X haribulan Y
adalah hari terakhir kamu dah.” Namun, bila bergelar guru tetap tiada jaminan
pada tarikh tertentu kita dipindahkan walaupun kita tidak suka dengan pelajar,
pentadbiran mahupun rakan-rakan guru lain.
Saat kaki
melangkah bumi Kenyalang pada 1 Julai 2013 lepas, fikiran terus ligat mencipta
alasan untuk seronok berada di Kuching. Berikut adalah beberapa alasan yang
berjaya dicipta:
1.
“Sekolah ini di bandar, lebih baik dari berada
di pedalaman yang kena merentas sungai berbuaya dan merentas bukit bakau.”
2.
“Sekolah ini budaknya pandai-pandai, lebih baik
dari mengajar pelajar yang bermasalah.”
3.
“Sekolah ini 15 km sahaja dari lapangan terbang.
Senang balik kampung. Kawan saya sampai dua tiga jam baru sampai lapangan
terbang…J”
4.
Rupa-rupanya saya satu penerbangan dengan
seorang rakan guru dari Johor. “Saya sudah ada kawan. Lebih baik dari kawan
saya yang seorang diri posting di sesebuah sekolah.”
Teringat akan petikan ayat dari Surah Ar-Rahman yang diulang sebanyak 31 kali dalam surah tersebut:

1.
“Alhamdulillah, sekolah baru.”
2.
“Alhamdulillah, dapat duduk di kuarters yang
selamat, lengkap dan sangat selesa.”
3.
“Alhamdulillah, surau depan kuarters sahaja.
Boleh selalu turun berjemaah.”
4.
“Alhamdulillah, gelanggang bola jarring, bola
tampar dan badminton depan kuarters je. Boleh selalu bersukan.”
5.
“Pergi sekolah dapat lenggang kangkung. Tiada
lagi kesesakan lalu lintas. Tiada lagi tol. Jimat minyak.”
6.
“Alhamdulillah, pelajar yang sangat berdisiplin
dan baik.”
7.
“Alhamdulillah, dapat teman serumah bukan Islam.
Peluang dakwah.”
8.
“Alhamdulillah, rupa-rupanya rumah saudara dekat
sahaja dengan sekolah (baru nak cari saudara).”
9.
“Rakan-rakan perkenalkan rakan-rakan mereka di
Sarawak. Alhamdulillah, makin ramai kawan. Rumah mereka juga tidak jauh dari
sekolah.”
10.
“Alhamdulillah, rakan-rakan guru yang sangat
baik.”
Tidak cukupkah nikmat yang Allah
berkan?!
“Berkerjalah
untuk kepuasan.” Bagaimana? Bagi saya kepuasan sebenar bilamana setiap perkara
yang dilakukan mampu membawa saya matlamat yang jelas untuk menuju redhaNya. Berlaku
amanah dalam setiap tugasan yang diberi dan ikhlaskan niat ketika
melaksanakannya. Pandangan Allah itu lebih utama dari pandangan manusia.
Teman, jika
hidup ini terlalu fokus kepada masalah, masalah tidak pernah luput dari dari
menjadi sebahagian hidup manusia. Fikirkan masalah tanpa bertindak bukanlah
jalan penyelesaian. Sekadar menambahkan tekanan dan bebanan masalah yang
dipikul. Bukan setakat mental, fizikal akan turut sama merasai bebanan
tersebut.
Bukankah lebih
baik untuk fikirkan perkara yang baik-baik sahaja?! Bukalah minda untuk memberi
ruang kepada perkara-perkara baik menjadi sebahagian subjek untuk difikirkan.
Hidup ini dipenuhi dengan terlalu banyak nikmat untuk disyukuri. Galilah nikmat
tersebut untuk menikmati indahnya nikmat kurniaanNya. Usah terlalu fikirkan
orang yang mendapat lebih baik dari kita tetapi cubalah menyelami kisah mereka
yang terpaksa melalui pengalaman yang lebih pahit dari kita. Nikmat itu indah.
Syukur itu menenangkan.
No comments:
Post a Comment