9 Julai 2013
“Ini hadiah
untuk cikgu…”
“Saya baru balik
dari semenanjung.”
Keesokan
harinya.
“Ini hadiah
untuk akak…”
“Saya baru balik
dari semenanjung…”
Lidah kelu.
Kenapa dua hari berturut-turut mendapat hadiah yang sama dari pelajar dan rakan
guru? Kedua-dua dari semenanjung.
“Selalu kalau
balik dari semenanjung mereka belikan hadiah ini…” Rakan guru menjelaskan.
Oh…! Kenapa?
Hanya hati berbicara sendiri.
Bicara hati
masih tiada noktah.
“Istimewakah
hadiah itu?!”
“Biasa je…”
“Selalu je
makan.”
Roti
gardenia yang berharga RM 0.70 rupa-rupanya sering menjadi buah tangan mereka
yang ke semenanjung. Baru aku tahu di sini tiada roti sedap Gardenia ini. Roti
yang sering menjadi sarapan dan minum malamku ketika aku bermastautin di
semenanjung. Sarawak? Kempunan nak makan roti Gardenia, tunggu hadiah dari
semenanjung atau apabila pulang bercuti sahaja jawabnya. Atau saya hanya
sekadar mampu menjamahnya di alam mimpi?
Benarlah.
Sesuatu itu akan dirasai sangat berharga bila ia tiada. Sebagaimana kita
kadangkala terlupa dengan nikmat mata yang diberi percuma oleh Allah. Lalu
digunakan untuk melihat perkara yang tidak elok. Bila mata itu ditarik balik,
baru kita sedar nikmatnya ada mata. Apatah lagi nikmat-nikmat lain. Agak malang
kepada kita yang sekadar menerima nikmat Allah tanpa membalas balik dengan
menjadi hambaNya yang taat. Sebagaimana seorang anak yang diberi makan, minum
dan segala keperluan secukupnya namun menjadi penderhaka kepada ibubapaNya.
Anak derhaka. Itulah istilah yang biasa digunakan. Mahukah kita ingin menjadi
hambaNya yang derhaka?
Belajarlaah
bersyukur dengan setiap nikmat yang dikurniakan Allah. Ringankan lidah menyebut
Alhamdulillah tanda kesyukuran kita kepadaNya. Tidak terlalu sukar bukan. Cuma perlu
dirutini. Bila? Mulakan sekarang.
Justeru,
dari sebuku roti saya terus mempelajari bab SYUKUR. Bersyukur kerana dipilihNya
menjadi pendidik. Bukan sekadar menjadi guru sains. Tetapi saya ingin menjadi
sebahagian guru yang mampu mampu mendidik hati. Bersyukur juga kerana diberi
peluang ‘melancong’ di bumi Sarawak dengan tajaan tiket percuma walaupun
setahun sekali sahaja. Melancong sambil mengajar. Melancong sambil berdakwah.
Seronok bukan?
Bagi
seorang pejuang Islam penjara menjadi tempat beristirehat. Bagi pejuang Islam
dibuang negeri adalah sebuah pelancongan. Bagi seorang pejuang Islam mati
adalah piala yang paling diimpikan. Jasad mereka didera. Namun hati mereka
bahagia. Kerana matlamat mereka jelas. Mencapai redhaNya. Namun perjuangan saya
bukan sampai ke tahap itu. Masih lagi dilimpahi pelbagai kenikmatan dan
keindahan. Bagai langit dan bumi. Sentiasa positif.
Bagi
rakan-rakan bakal guru yang masih belajar dalam bidang pendidikan atau masih
menunggu surat ‘cinta’ dari KPM, bersedialah untuk melancong di bumi Sabah
Sarawak. Bumi yang kaya dengan flora dan fauna ini perlukan khidmat bakti
kalian. Bagi rakan-rakan guru yang terasa sengsara di bumi Sabah Sarawak,
berilah ruang untuk minda melihat hikmah yang ingin ditunjukkan Allah. Bukalah
kunci hati untuk melihat nikmat Allah. Buka kembali kitab Hadis 40 karya Imam
Nawawi. Baca dan hayatilah makna hadis pertama yang dibahaskan. Niat. Setiap
amalan bermula dengan niat. Bagi yang sudah berbahagia di bumi merentasi Laut
China Selatan, Alhamdulillah. Teruskan melazimi lidah mengucapkan syukur atas
nikmatNya. Pelaburan pahala terbuka luas. Ambillah peluang itu.
No comments:
Post a Comment