7 Julai 2013
Bila laman web
Suruhanjaya Pelajaran (SPP) memaparkan keputusan ‘posting’ saya di sekolah
berasrama penuh (SBP), setiap hari saya masih lagi terus berdoa agar diberikan
sekolah yang begini begini. Akal cuba berimaginasi sekolah idaman. Dekat dengan
rumah, dekat dengan kawan-kawan, pentadbiran yang bagus, pelajar-pelajar yang
baik, dekat dengan Bandar, ada pelbagai kemudahan dan bermacam-macam lagi
imaginasi sekolah idaman. Hakikatnya, tiada sekolah yang sempurna sebagaimana
imaginasi akal! Kehidupan seorang pendidik tidak pernah sunyi dari ujian demi
ujian yang menuntut sebuah pengorbanan. Si anak perlu tinggalkan ibu ayah. Si
isteri perlu tinggalkan suami. Si suami perlu tinggalkan isteri. Si ibu perlu
tinggalkan anak. Mahligai perlu ditinggalkan. Itulah antara cebisan pengorbanan
seorang guru. Seronokkah menjadi guru?
Maka saya telah
meminta bantuan kawan untuk menelefon pihak SBP untuk mengetahui sekolah yang
bakal saya tempatkan. Tidak sanggup rasanya telinga ini menerima keputusan di
luar imaginasi sekolah idaman saya. Hati ini tidak pernah henti berbicara sepi
menambahkan rasa debaran di hati. “Adilah, bersedialah untuk ke Sabah Sarawak.”
Pada masa itu saya tidak henti berdoa agar dipermudahkan urusan dan ditempatkan
di sekolah yang terbaik untukku menjadi seorang guru dan juga seorang daie
kepada ummah. Walau di mana berada jiwa daie itu perlu ada dalam setiap muslim
selagi mana di situ adanya jiwa-jiwa manusia.
“Sekolah
Menengah Sains Kuching Utara.” Tersekat-sekat bicara sahabat. Saya dapat
meneka. Terus air mata mengalir deras tanpa henti. Rasa tidak mahu berbicara
dengan siapa. Negeri ini bukan negeri idaman. Jauh dari keluarga. Saya tidak
kenal siapa. Saya tidak pernah jejak kaki ke situ. Bagaimana saya mahu
menghabiskan detik-detik yang berlalu? Jiwa terasa kosong. Mahu sahaja megutuk
diri kenapa memilih bidang pendidikan ini. Wuduk diambil untuk tunaikan solat
sunat dhuha dan solat sunat hajat. Mohon kekuatan dari yang Esa.
Saya sering memberitahu
teman-teman saya adalah seorang yang sering berfikiran positif. Benarkah aku
benar-benar seorang positif? Dalam doa ku mohon petunjukNya. Saya cuba membina
semangat. Saya cuba membina kembali prinsip ‘positifkan diri’ yang sering saya
ucapkan. Saat itu, terimbau kembali kisah hijrah Rasulullah ke Madinah.
Hijrahnya Rasulullah bersama sahabat penuh dengan ujian. Beratnya tidak
terperi. Jika dibandingkan hijrah yang bakal saya lalui nanti sangatlah jauh
ukurannya. Semangat hijrah inilah yang menguatkanku untuk menerima hakikat yang
saya akan bergelar warga pendidik di bumi kenyalang.
Cukuplah sehari
air mata ini tumpah. Air mata tidak mampu mengubah keputusan yang diterima.
Setiap kali ada teman datang menceritakan masalah kepada saya, saya sentiasa
menasihati mereka agar sentiasa positifkan diri dan menggali hikmah yang cuba
disampaikan Allah. Dan sekarang giliran saya untuk menggali hikmah yang ingin
disampaikan Allah melalui takdir yang Dia tetapkan ini. Minda terus melakar apa
yang aku akan lakukan di Sarawak nanti…
“Ya Allah,
berikanlah kekuatan kepada hambaMu ini. Permudahkanlah segala urusanku baik
urusan dunia mahupun urusan akhirat. Sesungguhnya aku ini hambaMu yang lemah.
Hanya kepadaMu aku bergantung dan berharap. Bantulah hambaMu ini Ya Allah.
Amin.”

No comments:
Post a Comment