Memberi PENERANGAN apabila membuat TEGURAN
Menjadi satu amalan saya hampir setiap kali masuk ke kelas untuk ingatkan pelajar JANGAN TINGGAL SOLAT dan PELIHARA AURAT terutama pelajar PEREMPUAN...Biasanya setiap kali pertemuan dan perkenalan pertama dengan pelajar, saya akan buat sesi perkenalan dengan ringkas, diikuti soalan..."Semua solat Subuh tadi?!" Biasanya akan ada yang tanpa segan silu mengangkat tangan mengakui dengan jujur.
"Siapa di sini suka ke luar negara?"
"Siapa di sini pernah ke luar negara?"
Biasanya pelajar yang pernah ke luar negara akan teruja menceritakan pengalaman ke luar negara. Saya melayan jer keterujaan mereka.
"Apa dokumen yang paling penting yang kita kena ada bila kaki melangkah masuk ke negara lain?"
"Passport..." Jawab pelajar. Hampir semua pelajar mengetahuinya...
"Kalau ada duit banyak tapi tiada passport boleh masuk tak negara lain?"
"Tak boleh..." Masing-masing teruja menjawab.
Haa...! Masa untuk suntikan SOLAT!
"Pelajar-pelajar, macam itu jugalah jika kita ingin ke negeri akhirat. Solat adalah umpama passport untuk ke negeri akhirat. Jika solat kita tidak sempurna, tidak khusyuk, belum sempat masuk ke negeri akhirat kita akan diazab Allah. Belum lagi dihisab amalan lain..."
Masa ini saya akan MENERANGKAN KEWAJIPAN SOLAT...masuk kisah Isra' Mikraj skali...biasa kalau bercerita ni pelajar-pelajar lebih teruja untuk mendengar. Juga amaran-amaran pembalasan meninggalkan solat...
Seterusnya...
"Pelajar-pelajar, sayang tak mak ayah dan adik-beradik?"
"Sayang...sayang..." Bersahut-sahut mereka menjawab.
Suntikan seterusnya, AURAT!
"Kalau kita sayang mak ayah dan adik-beradik, kita kenalah pelihara aurat kita..."
Biasa akan ada suara-suara boo lelaki kepada perempuan. Biasalah, bila sebut bab aurat, biasa dikaitkan dengan perempuan.
"Lelaki pun kena ambil tahu, awak pun akan ditarik ke neraka jika mak, kakak dan adik perempuan tak menutup aurat."
"Ustazah, tak adil la macam tu..." Biasa akan ada yang tidak berpuas hati.
Sesi penerangan aurat diteruskan. Masa inilah saya akan memberi penerangan aurat untuk perempuan juga ditekankan aurat lelaki. Lelaki pun ada masalah aurat terutama bila masuk bab ketika main bola dan sukan lain...Pada masa sama ditekankan peranan lelaki untuk menjaga mak, kakak dan adik-adik perempuan agar mereka memelihara aurat. Turut diceritakan azab-azab yang bakal diterima jika mendedahkan aurat...Sesi ini biasa akan saya buat dengan menggunakan kaedah sesi perbincangan dua hala...yakni soal jawab...
Pelajar perempuan akan saya ingatkan supaya dilarang sama sekali melipat lengan baju ketika dalam kelas...Lipat lengan baju juga 'trend' dalam kelas. Alasan, panas!
Suntikan secara berterusan SOLAT dan AURAT...
Setiap kali masuk kelas saya akan tanya solat cukup atau tak. Yang perempuan saya akan 'check' pakaian mereka. Lipat lengan baju tidak dibenarkan sama sekali. Yang pakai tudung tak cukup kain diingatkan supaya dapatkan tudung lain...Yang tak pakai 'singlet' bagi perempuan sehingga menampak 'pakaian yang sepatutnya' akan diberi amaran...
Proses mendidik ini bukan mampu mengubah pelajar sekelip mata. Perlu sabar dan berhabis air liur menegur...
Alhamdulillah, hampir dua bulan mengajar baru mula menampakkan kesan. Bila saya masuk kelas, pelajar akan bertanya jika saya terlupa tanya tentang solat. Tak pun akan ada yang mengadu jika ada yang tahu rakannya tidak solat. Yang perempuan juga sibuk-sibuk membetulkan lipatan lengan baju...Jika diluar kelas juga, bila berjumpa saya mereka secara automatik akan membetul lipatan baju mereka. Tidak lagi perlu menegur, cukup sekadar jelingan mata dan isyarat tangan...Mereka sudah memahami...Cuma dalam menegur, saya lebih menggunakan pendekatan tidak serius walaupun yang ditegur perkara serius. Contohnya, jika nampak lengan tangan terdedah atau rambut terburai keluar dari tudung saya akan menegur..."Amboi, tak takut api neraka nampak" atau "Kesian ayah awak dapat dosa free-free disebabkan kamu." atau "Aii, tak sayang diri kena bakar api neraka nampak...!" atau cukup saya mencubit manja atau menarik rambut yang terkeluar...
Sama juga bila ingin beri teguran tentang solat, dalam isra mikraj diceritakan Rasulullah menemui segolongan yang tidak henti-henti menghentak kepala di batu sampai terburai kepala akibat tidak sujud kepada Allah. Kalau ada yang masih tidak solat saya sekadar ingatkan..."Cuba awak hentak kepala kuat-kuat kat dinding sakit tak? Kat akhirat teruk lagi sampai terburai isi kepala..." atau "Kamu ni sama jer dengan budak tadika sebab tak solat. Diorang takpe tak cukup umur lagi. Kadang-kadang budak tadika lagi bagus tak tinggal solat..." atau "Nak masuk syurga tak? Macam mana nak masuk syurga, nak masuk negeri akhirat pun tak lepas ni? Passport tak lengkap..." atau "Aii, tak sayang diri kena bakar api neraka nampak...!"
Suntikan seterusnya adalah memberi kesedaran untuk SOLAT dan MENUTUP AURAT bukan kerana ustazah tetapi kerana Allah...Kalau mereka sibuk-sibuk betulkan baju bagi menutup aurat saya akan beritahu..."Kamu ni, takutkan saya ke takutkan Allah?" Saya cuba menghadirkan keyakinan kepada mereka akan kewujudan Allah yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Sekali lagi, proses ini bukan mudah dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
Nasihat saya kepada rakan-rakan guru, tidak kisah anda cikgu, teacher dan apatah lagi ustazah untuk sentiasa mengingatkan pelajar tentang perkara asas dalam agama ini. Perkara yang sama pernah saya buat ketika bergelar cikgu BM, GEO, BIO dulu...Ok jer...Sehingga mereka turut memanggil saya sebagai Ustazah...:)
Ingat...kita bukan sekadar CIKGU, mengajar apa yang ada dalam silibus, tetapi kita juga daie (pendakwah) untuk membaiki generasi yang akan memimpin ummah...:)
Cikgu Adilah
No comments:
Post a Comment