Di waktu pagi yang hening. Kelihatan seorang petani
dengan cangkul di bahu sedang berjalan menuju ke petak-petak sawah padi yang
kuning keemasan. Sepanjang perjalanan, mulutnya terkumat kamit mebaca
zikir-zikir mathurat, iaitu zikir-zikir amalan nabi. Tiba wakaf yang
betul-betul terletak di tengah sawah, menjadi perkara yang rutin baginya untuk
menunaikan solat sunat dhuha terlebih dahulu. Baginya, segala rezeki yang
diperoleh semuanya dari Allah. Oleh itu, sangatlah wajar untuknya mengembalikan
kesyukuran kepada Allah dengan solat sunat dhuha dua rakaat.
Seusai solat sunat dhuha, diteruskan tugas berjasa kepada
tanah. Hasil padi dituai dengan penuh cermat. Padi disabit dan seterusnya dibanting untuk
menanggalkan padi dari batangnya. Kemudian, padi yang telah dikeluarkan dari
batang dijemur sehingga kering. Kemudian, padi tersebut dianginkan untuk
mengasingkan habuk dari padi. Seterusnya, padi dimasukkan ke dalam guni. Semua
kerja tersebut dilakukan hasil kudrat tenaga empat keratnya.
Kini padi yang sudah berupa beras bertukar tangan.
Beberapa wang kertas biru, kuning dan merah dihulurkan kepada si petani.
Lantas, diciumnya wang kertas tersebut sambil mulut tidak henti-henti
melafazkan rasa kesyukuran yang tidak berbelah bahagi. Di matanya terbayang-bayang
lauk-pauk yang akan dibeli untuk dimasak si isteri dan dihidangkan kepada
anak-anak. Alhamdulillah.
**********************
Itulah secebis kisah ketabahan seorang petani mencari
sesuap rezeki buat keluarga. Kisah seorang hamba yang hidupnya meletakkan
keyakinan kepada Allah. Bilamana mendapat rezeki dikembalikan rasa kesyukuran
kepada Allah yang maha esa. Ya! Itulah yang seharusnya reaksi kita bilamana
mendapat sesuatu nikmat.
Jika diamati kisah petani ini, usahanya hanyalah sekadar
menyemaikan benih-benih padi, meracun serangga perosak dan menjaga saliran air
yang mengairi tanaman. Selebihnya adalah dengan kuasa Allah. Allahlah yang
menumbuhkan padi dari biji benih sehinggalah membesar berbuah kekuningan
sebelum dituai. Allah jualah yang mengerakkan sel-sel pokok untuk menyerap air
dan nutrien dari tanah. Allah jualah yang menggerakkan tangan-tangan petani
untuk menabur benih. Jadi apalah sangat usaha kita sebagai manusia selain
segalanya kembali kepada kuasa yang maha agung yang tiada tandingannya.
Begitulah juga rutin harian kita. Usah terlalu ego dengan
kemampuan diri sehingga lupa adanya kuasa Maha Hebat disebalik kemampuan kita
itu. Rasa hebat kerana mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan,
tidak lain tidak bukan adanya Allah yang menggerakkan otak dan tangan kita
berfungsi dengan baik ketika kita menjawa kertas peperiksaaan. Mampu melakukan
‘presentation’ yang menakjubkan tidak lain tidak bukan kerana Allah mengaturkan
mulut dan lidah kita petah mengungkapkan kata dan menstabilkan otot-otot kaki
dan anggota-anggota lain untuk teguh berdiri dengan yakin di hadapan audien.
Pejamkan mata sejenak. Tarik nafas sedalam-dalamnya.
Beristighfarlah sebentar. Bayangkan saat Allah menarik nikmat tangan yang saban
hari digunakan untuk menulis. Mampukah kita menulis dengan baik jawapan dalam
peperiksaan? Saat Allah menarik nikmat mulut dan lidah, bisakah kita menjadi
seorang yang petah bicaranya? Saat Allah menarik nikmat kaki dan tangan,
mampukah kita berkeyakinan untuk berdiri mantap di hadapan audien? Bukankah itu
semua Allah mampu lakukan dalam sekelip mata sahaja? Saat itu, mungkin kita
akan baru tersedar, kita sudah tidak punya daya lagi kerana pinjaman yang Allah
berikan kepada kita telah ditarik kembali…
Hidup matiku hanya untuk Allah...
Hidup matiku hanya untuk Allah...
Cikgu Adilah
No comments:
Post a Comment