Guru yang HEBAT adalah guru yang mampu menjadi INSPIRASI pelajar...Berusaha mendidik hati untuk mendidik pelajar dari HATI yang TULUS...Bukan sekadar mengharap pelajar menjadi pandai semata-mata tetapi mampu memancarkan ilmu untuk KEMENJADIAN pelajar...Maka diri ini bukan sekadar CIKGU tetapi berusaha melunaskan amanah sebagai KHALIFAH sementara masih bernyawa di bumi ALLAH ini...

Pages

Monday, 25 March 2013

Dunia di tangan bukan di hati




   Dunia ini sifatnya sementara. Dunia ini sifatnya akan berakhir. Setiap hari berapa juta manusia mati. Baik yang tua mahupun kanak-kanak. Baik yang kaya mahupun yang miskin. Baik yang berkuasa sehinggalah kepada hamba. Baik yang sihat mahupun yang sedang sakit. Kerana itulah janji Allah, setiap yang hidup pasti akan mati.



   Akhirat. Kita tidak pernah melihatnya. Tidak pernah juga orang yang telah meninggal dunia kembali ke dunia untuk menyatakan pengalaman alam akhirat. Tetapi sebagai orang Islam yang beriman, kita meyakini akhirat itu pasti. Akhirat itu sebuah perkampungan hakiki.  Akhirat itu medan untuk pembalasan hidup dunia. Baik atau jahat. Kitalah yang membuat pilihan keadaan kehidupan kita di akhirat.
    
   Dunia sebagai ladang akhirat. Di dunia inilah kita menyemai biji, menyiram dan membaja. Akhiratlah tempat kita menuai dan mengutip hasil. Untuk mendapat hasil yang baik, pilihlah biji benih yang terbaik. Biji benih itu perlu disiram setiap hari agar ianya dapat tumbuh subur. Pilihlah juga baja yang berkualiti dan sesuai agar pokok tersebut sihat membesar. Andai pokok tersebut berpenyakit rawatilah ia. Andai ada serangga perosak hinggap, racunilah serangga tersebut.

    Biji benih ini diandaikan amalan kita kita di dunia. Untuk memastikan diri kita istiqamah melakukan kebaikan kita perlu sirami dan bajainya dengan perkara-perkara atau tindakan-tindakan yang boleh mengarahkan kita melakukan kebaikan. Contohnya dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, bersahabat  dengan orang-orang yang soleh dan tidak terkecuali juga dengan adanya pasangan hidup yang boleh mendorong dan membimbing kita ke arah kebaikan. Andai ada perkara-perkara negatif mempengaruhi diri kita, bersegeralah bertaubat. Mohonlah keampunan daripada Allah. Insya Allah, andai kita benar-benar ikhlas, Allah pasti akan mengampuni dosa yang kita lakukan. Pasti, hasil tuaian kita di akhirat kita juga terbaik kesan daripada penjagaan rapi yang di buat di dunia.

   Letakkan dunia di tangan bukan di hati kerana bila-bila masa sahaja dunia perlu dilepaskan dari genggaman. Sematkan akhirat di hati kerana itulah tujuan hidup kita, hidup menuju akhirat. Sematkan akhirat di hati kerana walau senikmat mana hidup dunia, kita tetap tidak akan lupakan akhirat. Sematkan akhirat di hati kerana andai terlintas rasa nak buat kejahatan, hati pasti akan menyatakan tidak.

   Namun, hari ini kita melihat terlalu ramai umat manusia yang lebih mengutamakan dunia dunia. Ramai yang menjadikan dunia sebagai matlamat hidup. Harta, kekayaan, jawatan, kuasa dan lain-lain perkara yang sekadar menjurus kepada matlamat hidup dunia dan bukannya akhirat. Perlu difahami di sini Islam tidak sama sekali menghalang penganutnya dari memiliki harta, kekayaan, jawatan mahupun kuasa, namun kita seharusnya bijak mengarahkan hal-hal keduniaan ini kepada matlamat hidup akhirat. Harta yang banyak, arahkan kepada untuk melakukan kebajikan yang berpanjangan. Jangan sombong dan ego dengan kekayaan yang ada. Kuasa yang ada salurkan kepada sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada agama. Gunakan kuasa tersebut untuk laksanakan amar maaruf nahi mungkar, laksanakan syariat Allah dan bukannya menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri mahupun kroni-kroni.

   Sejarah pendamping-pendamping Rasulullah dahulu kala, contohnya isteri baginda Siti Khadijah, seorang hartawan Quraisy yang sangat masyhur, lihat balik sejarah bagaimana Siti Khadijah telah membuat pelaburan yang sangat besar untuk akhirat dengan menginfakkan segala harta yang beliau ada untuk perjuangan Islam. Sehingga di akhir nyawa beliau, Aminah sempat lagi menawarkan tulang belulangnya andai ia juga boleh member manfaat kepada Islam.

    Abdul Rahman bin Auf, seorang sahabat Rasulullah yang sangat kaya-raya. Beliau telah telah dikhabarkan khabar gembira oleh Rasulullah akan tergolong antara sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah. Setiap kali peperangan Abdul Rahman terasa sangat berdosa andai tidak menginfakkan hartanya untuk perjuangan Islam. Di dalam Perang Tabuk, bilamana Rasullullah memerintah orang-orang Islam mengorbankan harta untuk jihad ini, Abdul Rahman telah menginfakkan hampir seluruh harta yang beliau ada untuk tentera-tentera Islam. Bila ditanya Rasulullah apa yang beliau tinggalkan untuk keluarganya, dengan tenang beliau menjawab beliau telah meninggalkan untuk keluarga sebanyak rezeki, kebaikan dan pahala yang Allah janjikan. Subhanallah. Inilah contoh dermawan yang sangat hebat. Kekayaan yang ada tidak pernah mempengaruhi jiwa yang penuh dengan iman dan taqwa. Kekayaan yang ada tidak pernah dilalaikan dari pengabdian seorang hamba kepada Sang Pencipta yang maha agung. Inilah susuk tubuh yang sepatutnya kita contohi.

Sesungguhnya dunia ini penuh dengan intan permata
Bergemerlapan indah siang mahupun malam
Sang pecinta dunia mendambakannya
Menjadikannya kompas hidup yang bernoktah
Digali saat demi saat tanpa henti
Mereka masih kehausan walaupun intan sudah menggunung
Mereka ketandusan walaupun permata sudah mencecah awan
Bisikan syaitan makin membingitkan telinga
Memotivasikan ummah agar terus hanyut dalam lautan biuh-buih harta
Yang akhirnya hilang dan lesap saat tubuh dibalut kain putih

Ya Allah, lindungilah kami dari kehanyutan durjana ini, bawa dan arahkan kami kepadaMu setiap masa dan saat…
Jadikan harta yang kami ada bermanfaat untuk Islam…
Jangan engkau biarkan harta yang kami ada hilang nilainya bilamana diperhitungkan di padang masyar kelak….

Cikgu Adilah

3 comments:

  1. Aminah ke siti khadijah?
    mohon pencerahan....

    ReplyDelete
  2. opss...tersilap...ok...akn di edit...syukran atas teguran...:)

    ReplyDelete