Guru yang HEBAT adalah guru yang mampu menjadi INSPIRASI pelajar...Berusaha mendidik hati untuk mendidik pelajar dari HATI yang TULUS...Bukan sekadar mengharap pelajar menjadi pandai semata-mata tetapi mampu memancarkan ilmu untuk KEMENJADIAN pelajar...Maka diri ini bukan sekadar CIKGU tetapi berusaha melunaskan amanah sebagai KHALIFAH sementara masih bernyawa di bumi ALLAH ini...

Pages

Monday, 25 March 2013

Si jelitawan



            Subhanallah! Mata Aina terpegun seketika tatkala melihat pelakon wanita yang diminatinya melintasi di hadapannya. Matanya bulat, kulitnya tidak terlalu putih tidak terlalu gelap ditambah dengan ketinggiannya persis seorang model. Hebat! Terasa wanita itu terlalu sempurna.


            Selaku pengacara program dan moderator sembang santai bersama pelakon tersebut, sudah pasti diri Aina cukup teruja. Jika dulu pelakon tersebut ‘free hair’ sekarang dia dilihat ‘cukup muslimah’. Dengan mengenakan jubah polos dipadankan dengan tudung ‘polka dot’ yang memenuhi tuntutan syariat, bertambah jelitalah pelakon terbabit.

“Assalamualaikum kak.” Aina memulakan bicara sebelum slot sembang santai bermula.
“Waalaikumussalam.” Salam disambut dengan senyuman yang sangat menawan.
“Akak sungguh cantik malam ni.” Akhirnya terkeluar juga kata-kata pujian kepada pelakon pujaan hatinya.
“Dik, cantik ini milik Allah. Kalau kita pinjam pakaian orang. Pakaian tersebut tersangat cantik. Bila ada yang memuji pakaian kita tersebut, wajarkah kita beritahu baju yang cantik itu milik kita?” Luncur bicaranya penuh rendah diri.
*********************************
            Ya, cantik itu milik hakiki Allah. Ucapkanlah Alhamdulillah saat diri dipuji. Kembalikanlah pujian kepada Allah kerana menjadikan penciptaan yang sangat hebat. Kawal hati dari dihuni rasa riak dan sombong. Istighfarlah saat perasaan negative itu timbul.

            Teman, cantik itu secara hakikinya bukan hanya milik si jelitawan mahupun si jejaka tampan. Setiap ciptaan Allah itu tersangatlah cantik. Sebelum diri ini menilik kecantikan orang lain, tiliklah diri sendiri terlebih dahulu.

            Dari hujung rambut, paras rupa, setiap anggota badan sehinggalah ke hujung kuku kaki, semuanya tampak hebat sempurna bukan? Tangan yang lima jari, andai dikurangkan empat jari, tampak ganjil bukan? Komposisi warna mata hitam putih serta dihiasi bulu mata yang halus turut menjadi saksi cantiknya ciptaannya. Bayangkan andai komposisi warna mata hitam dan merah? Bukankah ia menakutkan.

            Walau secantik manapun kembalikan pujian kepada Allah. Bersyukurlah kita dijadikan dengan satu penciptaan yang sangat cantik. Usah biarkan syaitan-syaitan menawan hati untuk menanamkan kata-kata negatif menafikan kecantikan ciptaan Allah.

                        Cantik itu sifatnya subjektif pada pandangan manusia tetapi objektif pada pandangan Allah. Subjektif pada pandangan manusia kerana lumrah manusia sukakan kecantikan. Mereka mudah tertawan cantiknya pada pandangan ilusi matanya. Setiap manusia juga mempunyai definisi kecantikan yang berbeza-beza. Ada yang melihat hitam itu menawan, putih itu cantik dan bermacam-macam lagi tafsiran. Awas, jangan mudah tertipu dengan pandangan ilusi ini. Bersyukurlah kerana pandangan Allah itulah paling utama. Pandangan Allah adalah objektif kerana semua makhluk ciptaanNya itu cantik selagi mana dia meletakkan keimanan dan ketaqwaan pada tempat yang tertinggi. Noktah! Tiada jawapan kedua mahupun ketiga.
Andai kita memahami hakikat cantik ini, sudah pasti kita tidak akan ubah dengan sewenang-wenangnya kecantikan yang telah Allah ciptakan untuk kita melainkan ia memudaratkan kita. Sebaliknya kita peliharanya dengan penuh amanah dan tanggungjawab agar cantiknya kita waktu dilahirkan, cantik juga waktu kita dikembalikan kepada Tuan kita. Belajarlah menjadi hambanya yang bersyukur. Pelihara hati dari riak. Lazimi istiqhfar sebagai pengubat hati.

Cikgu Adilah

No comments:

Post a Comment