Guru yang HEBAT adalah guru yang mampu menjadi INSPIRASI pelajar...Berusaha mendidik hati untuk mendidik pelajar dari HATI yang TULUS...Bukan sekadar mengharap pelajar menjadi pandai semata-mata tetapi mampu memancarkan ilmu untuk KEMENJADIAN pelajar...Maka diri ini bukan sekadar CIKGU tetapi berusaha melunaskan amanah sebagai KHALIFAH sementara masih bernyawa di bumi ALLAH ini...

Pages

Monday, 25 March 2013

Siapa tak SOLAT SUBUH hari ni?!

TIPS 1 untuk CIKGU : 
Ulangi PERINGATAN kepada pelajar dalam NADA dan GAYA pelbagai sehingga ada kesan POSITIF kepada pelajar (Contoh Solat)

"Siapa tak solat Subuh hari ni?"

Dengan jujur pelajar-pelajar Kelas E mengangkat tangan...
"Saya Ustazah..."
"Saya Ustazah..."

Saya menyebut satu persatu nama yang tidak solat Subuh. Selagi tidak disebut nama mereka selagi itu laungan "Saya Ustazah..." bertali arus kelas. Jujur sangat pelajar-pelajar. Tiada rasa segan kerana isu meninggalkan solat adalah perkara biasa dalam masyarakat. Jika ada yang tidak mengangkat tangan, pasti ada suara-suara belakang bercakap-cakap..."Weh, betul ke kau tak tinggal solat? Tak percayalah aku..."


Itulah rutin dan hampir menjadi perkara wajib yang saya tanya setiap kali masuk ke kelas sebelum memulakan pengajaran Pendidikan Agama Islam dan Bahasa Arab (Walaupun saya merupakan graduan Pendidikan Biologi, tetapi disebabkan kritikal sangat ketiadaan guru ganti Bahasa Arab, saya memberanikan diri untuk menggalas amanah tersebut dengan sedikit ilmu yang pernah dipelajari ketika di sekolah dan kampus. Kesian pelajar-pelajar dah hampir 2 minggu ketiadaan guru kerana bersalin...)

Itu baru ditanya persoalan solat Subuh, solat lain...mengucap jer. Hampir majoriti masih belum cukup waktu solatnya. Macam-macam alasan yang diberi. Letih, lupa, tertidur dan beberapa ciptaan alasan lain.

Hari ini ramai memandang ringan bab solat...masalah solat bukan masalah budak-budak tetapi masalah universal ummat Islam tanpa mengira umur dari yang baru baligh sehingga yang berpangkat datuk dan nenek...

Tadi solat subuh?
"Tak..."
Kenapa?

"Tak sedar..."
Ayah tak kejutkan?

"Ayah penat, tak bangun Subuh..."
Mak?

"Tak nampak plak mak solat..."
Adik-adik?

"Adik-adik lagi tak bangun..."

Kasihan sangat pelajar ni...seorang yang sangat rajin walaupun 'slow learner'...pernah beritahu nak solat cukup tapi tiada dorongan dari keluarga...Sebagai guru, sekadar itu sahaja yang mampu ku bantu pelajar. Bertanya dan memberi peringatan saban hari. Sewaktu solat Zohor dan asar di sekolah, akan dipastikan semua pelajar tidak culas solat.

Satu hari, ketika melangkah agak tergesa-gesa ke Kelas E, saya segera meneruskan pengajaran tanpa set induksi yang sempurna. Sekadar salam dan menyatakan topik pembelajaran hari tersebut. Mesyuarat telah mencuri sedikit masa untuk pengajaran dan pembelajaran (P&P) kelas. Tapi saya perlu pastikan rancangan mengajar tetap dilaksanakan sebagaimana yang dirancang (kejar silibus daa...)...

Mata sekadar menjeling beberapa pelajar di meja hadapan berbisik-bisik. Tangan meneruskan lakaran peta minda. Tiba-tiba salah seorang dari mereka mengangkat tangan. "Ustazah, Ikram tanya, Ustazah tak tanya solat Subuh ke hari ni?"

"Oh, Ustazah lupa." (buat-buat lupa sebenarnya >.<)
"Ye, hari ini semua solat Subuh?"
 Ada jawapan positif dan masih ada jawapan negatif. Tetapi yang paling kuat suara adalah si Ikram.

"Saya solat Subuh Ustazah." Dikuatkan suara dalam kalangan rakan-rakannya.

"Wow, bagus kamu Ikram. Sudah mampu bangun solat Subuh. Kagum Ustazah dengan kamu. Esok dan seterusnya kena kuat untuk bangun solat Subuh." Teknik PUJIAN sering digunakan untuk membangkitkan semangat pelajar walaupun KEBAIKAN yang dibuat adalah KECIL.

"Baik, Ustazah!" Jawabnya dengan tersenyum (bangga!). Tangan terus pantas mengambil buku latihan menyalin peta minda yang dilakarkan tanpa perlu disuruh. Senyuman tidak putus dari bibirnya. Apa taknya, jika jarang bangun Subuh, bangun Subuh seolah-olah satu perjuangan yang memerlukan kemahuan dan tenaga yang sangat tinggi. Alhamdulillah, Ikram berjaya melalui perjuangannya dalam keadaan tiada sokongan keluarga. Bukankah itu kejayaan yang sangat membanggakannya?

Sabar dan terus bersabar dengan pelajar. Jangan mudah menghukum pelajar kerana kadangkala persekitaran tidak mendorong pelajar melaksanakan tanggungjawab seorang Muslim dengan baik. Sentiasa berfikiran positif.  Tugas guru adalah mengajar dan mendidik. Tugas memberi kefahaman, penghayatan dan hidayah adalah milik Allah. Maka, sentiasa mendoakan pelajar agar diberikan kefahaman dan hidayah oleh Allah...

Ya Allah, jadikanlah pelajar-pelajarku hambaMu yang soleh. Melaksanakan solat dan mematuhi setiap perintahMu. Amin.

No comments:

Post a Comment